06 November 2010

Muhyiddin Gesa Ahli Fisioterapi Galakkan Gaya Hidup Sihat

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ahli fisioterapi menggalakkan gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit di peringkat awal di kalangan penduduk Malaysia.

Katanya berikutan gaya hidup orang ramai mengalami perubahan, peranan ahli fisioterapi juga berubah daripada mengenal pasti kecederaan dan masalah pergerakan, merawat dan mengoptimumkan fungsi pesakit kepada memperkasakan mereka, menggalakkan penjagaan kesihatan, mencegah penyakit dan menggalakkan kesejahteraan hidup sepanjang hayat.

"Satu daripada contoh terbaik ialah pencegahan obesiti di peringkat kanak-kanak. Ini kerana kita tahu bahawa kanak-kanak obes berisiko tinggi mengalami pelbagai jenis penyakit daripada masalah kardiovaskular kepada musculoskeletal (berkaitan otot, tulang dan sendi).

"Sebagai usaha untuk menangani masalah obesiti kanak-kanak dan isu kesihatan yang lain di kalangan golongan muda, saya menggalakkan Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran menganjurkan kempen kesedaran kesihatan di sekolah-sekolah," katanya pada Persidangan Saintifik dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-47 persatuan itu di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kempen itu akan menjadi platform yang efektif untuk mendidik generasi muda, serta ibu bapa mereka dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya ahli fisioterapi juga boleh menggalakkan kehidupan sihat dengan cara mengalakkan pemeriksaan musculoskeletal di kalangan orang yang sihat dan normal.

"Badan akan menjadi semakin lemah dan mengalami kekejangan terutama apabila umur mencecah lebih 40 tahun, saya kini berumur 62 tahun, ahli fisioterapi berpengalaman boleh mengenal pasti dan meramalkan masalah awal yang akan dialami melalui pemeriksaan pada sendi," katanya.

Muhyiddin berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada satu-satu masa, kira-kira 1.5 peratus populasi dunia sama ada memerlukan atau menjalani pemulihan bagi masalah kesihatan tertentu.

Katanya oleh yang demikian, profesion itu memikul peranan penting untuk memenuhi keperluan global bagi pemulihan kesihatan kerana mereka merupakan sebahagian komponen penting penyedia penjagaan kesihatan bagi pelbagai penyakit seperti angin ahmar, kecederaan otak traumatik, kecederaan saraf tunjang, palsi serebrum, amputasi dan masalah musculoskeletal.

"Dengan kepakaran anda, saya percaya, anda mampu memperbaiki kualiti hidup golongan ini dan meningkatkan harga diri mereka untuk menjadi anggota masyarakat yang membanggakan negara dan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara," katanya.

Muhyiddin juga berkata orang ramai kini semakin sedar mengenai perlunya fisioterapi dan dengan itu kerajaan memberi sokongan padu kepada usaha dan komitmen MPA dalam menganjurkan kempen di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai profesion itu.

Sementara itu, Presiden MPA Dr Balwant Singh Bains mencadangkan kerajaan mengambil kerja ahli fisioterapi untuk ditempatkan di sekolah-sekolah dan memasukkan mereka dalam program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) untuk menangani kecederaan yang dialami pelajar semasa aktiviti sekolah seperti larian merentas desa.

"Tidak semua orang dilahirkan boleh berlari jarak jauh. Berlari tanpa pemeriksaan betul boleh menimbulkan masalah pada otot, ligamen dan tendon.

"Oleh yang demikian, kurikulum perlu disemak semula. Mungkin mereka hanya perlu berjalan kaki. Sekali lagi ditegaskan, mereka perlu diperiksa oleh ahli fisioterapi," katanya.

Katanya khidmat ahli fisioterapi yang diambil kerja oleh kerajaan boleh diperluaskan di kawasan yang mempunyai sekolah dengan membuka "Klinik Fisioterapi 1Malaysia".

Dr Balwant berkata jika kerajaan bersetuju dengan cadangan MPA itu, Malaysia akan menjadi negara pertama yang menempatkan ahli fisioterapi di sekolah.

Beliau juga mencadangkan buku teks dibahagikan mengikut semester bagi meringankan beg sekolah yang perlu dibawa pelajar.

Katanya dunia perubatan mendapati beg pelajar kini semakin berat yang boleh mengakibatkan scoliosis atau struktur tulang belakang membentuk huruf S pada sisi tertentu, khususnya di kalangan pelajar perempuan.

Dr Balwant juga mencadangkan pasukan ahli fisioterapi ditempatkan di kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). - BERNAMA

No comments: