10 January 2017

Muaythai vs Silat ep. 1

Assalamualaikum


1. Apakah kesudahannya jika dua ahli ilmu tempur paling ganas di dunia ini terpaksa bertarung untuk menentukan siapa lebih hebat?

2. Muay Thai ialah sejenis sukan yang berasal dari ilmu perang muay boran, manakala Pencak Silat masih diwarisi dalam bentuk tradisi.

3. Mungkin Muay Thai ialah sukan tempur paling realistik tetapi terdapat pelbagai aliran silat yang masih mengamalkan latihan tempur bersenjata secara realistik. 

4. Jika dipertemukan dua jaguh ini (tiada peraturan dan tiada gelanggang), peluang petinju Muay Thai untuk menang agak tipis, tetapi bagaimana jika pertarungan ini berlaku tanpa senjata?

5. Sebelum kita pergi lebih lanjut, saya ingin bertanya kepada diri saya sendiri, apakah yang akan saya lakukan jika terpaksa berhadapan dengan pesilat yang berpengalaman. 

6. Sebagai pengamal kedua-dua ilmu tempur ini, saya tidak akan masuk bertempur dengan pesilat jika diajak berlawan di dalam sungai, di dalam sawah atau di atas lantai yang licin.

7. Pesilat tidak kira apa jua keadaan tetap boleh bertarung menggunakan teknik tertentu.

8. Dan jika saya diajak bertempur dengan petinju Muay Thai dengan menggunakan teknik silat, saya tidak akan menyahut cabaran itu sekiranya diminta berlawan dalam gelanggang Muay Thai seperti yang dilakukan oleh ahli beladiri yang lain dalam kejohanan  Ultimate Warrior dan Kejohanan F3 (freestyle fullcontact fighting). 

9. Berlawan dengan petinju Muay Thai dalam gelanggang mengikut undang-undang Muay Thai ibarat melawan buaya dalam lubuknya. 

10. Pesilat yang tidak mengenali kelebihan gelanggang akan mudah ditewaskan. 

11. Saya lebih rela bertarung dengannya di luar gelanggang tanpa sebarang undang-undang.

12. Mari kita lihat terlebih dahulu kekuatan dan kelemahan Muay Thai. 

13. Pertama, Muay Thai ialah sejenis sukan dan ini bererti undang-undang diadakan untuk memanjangkan perlawanan, memastikan keselamatan petinju dan mempamerkan aksi yang menarik untuk tontonan peminat. 

14. Jadi, sudah tentu teknik berbahaya seperti tusukan jari ke mata, pukulan ke bahagian sulit, dan bergusti di lantai tidak dibenarkan.

15. Namun begitu, ini tidak bermakna Muay Thai lembik. 

16. Setiap teknik yang digunakan adalah realistik kerana telah diuji sepanjang zaman.

17. Bersediakah anda menerima sepak layang tulang kering yang mampu mematahkan tulang paha anda? 

18. Kalau anda tidak mempunyai daya ketahanan dan stamina yang tinggi, lupakan sahaja untuk berhadapan dengan petinju Muay Thai yang berpengalaman.

19. Jika bertempur jarak jauh, petinju Muay Thai hanya bergantung kepada dua jenis sepakan, iaitu sepak layang tulang kering dan tendang lurus. 

20. Walaupun silat mempunyai teknik sepakan yang pelbagai, dua teknik Muay Thai ini ialah teknik yang mudah dan semula jadi.

21. Latihan menggunakan beg berat setiap hari membentuk sepakan yang mampu mematahkan apa sahaja halangan di hadapan.

22. Satu kelebihan petinju Muay Thai ialah mereka tidak akan berundur walaupun dihukum bertubi-tubi. 

23. Hati keras dan tubuh sasa menjadi aset untuk menahan sakit. 

24. Berlawanan siapa lebih keras dan siapa lebih tahan sakit ialah taktik yang kurang baik bagi pesilat.

25. Elakkan menjadi sasaran sepak layang tulang kering petinju Muay Thai. 

26. Lebih elok pesilat mengelak daripada menangkis teknik ini. 

27. Teknik plam (clinch) sangat gemar digunakan oleh petinju Muay Thai untuk membinasakan lawan dengan cepat. 

28. Apabila leher dipaut, petinju akan menghujani pesilat dengan hentakan lutut yang berbahaya. 

29. Bukan mudah melepaskan diri daripada perangkap ini, hanya mereka yang mempelajari Muay Thai yang tahu membuka kunci ini.

30. Walaupun diakui berbahaya dan paling sofistikated, teknik lutut Muay Thai membuka bahagian sulitnya untuk menjadi sasaran pesilat. 

31. Pukulan ke bahagian sulit diikuti sendi lutut mampu melepaskan pesilat daripada teknik berbahaya ini. 

32. Lupakan bahagian kakinya kerana petinju Muay Thai mempunyai sepasang kaki yang mantap.

32. Ingat, mata, halkum, bahagian sulit, lutut dan buku lali ialah sasaran utama pesilat apabila berhadapan dengan petinju Muay Thai.

33. Namun jika pesilat sempat menangkap sepakan petinju, segera humbankannya ke bumi dan terus menguncinya kerana petinju Muay Thai tidak gemar bertarung di lantai.

I Lead,You Read.