06 November 2010

Malaysia KEKURANGAN Ahli Fisioterapi

PETALING JAYA: Kurang popular dan tidak mendapat perhatian pelajar menyebabkan beberapa profesion dalam bidang perubatan selain doktor serta jururawat, mengalami kekurangan tenaga mahir yang ketara terutama ahli fisioterapi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin, berkata sama ada sektor kerajaan mahupun swasta, kedua-duanya berdepan masalah serupa gara-gara tidak ramai penuntut yang berminat melanjutkan pengajian bidang berkenaan.

Katanya, selain fisioterapi, negara juga mengalami kekurangan pembantu pegawai perubatan dengan nisbah dua tahun lalu merekodkan seorang pembantu pegawai perubatan kepada kira-kira 3,054 penduduk (1:3,054).


“Bagi kerjaya fisioterapi atau pegawai pemulihan anggota, negara hanya memiliki 689 kakitangan di sektor awam dan belum lagi dicampur dengan yang bertugas di hospital swasta. “Saya pasti ada fisioterapi di hospital dan klinik swasta tapi jumlah yang kita ada di bawah Kementerian Kesihatan terlalu rendah jika dibandingkan dengan populasi Malaysia ketika ini.


“Sebab itu, kementerian menggalakkan mana-mana pelajar memilih jurusan ini kerana ia menarik untuk dipelopori bukan semata-mata doktor, jururawat atau ahli farmasi,” katanya pada sidang media, di sini semalam.


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2010 peringkat Kolej Lincoln dan merasmikan Wad Simulasi Lincoln.


Mengiringi beliau, Presiden Kolej Lincoln, Dr Bibi Florina Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Lincoln, Prof Datuk Dr Badaruddin Nordin dan Pengetua Kolej Lincoln, Prof Dr Amiya Bhaumik.


Rosnah Shirlin menjelaskan usaha berterusan dilaksana kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan guna tenaga kerja perubatan terutama mewujudkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi tawaran program dan kuota.


“Kita juga menawarkan kerja kontrak bagi doktor dan profesion tertentu dalam bidang ini untuk menarik minat mereka berkhidmat dengan kerajaan selain tawaran beberapa inisiatif bersama elaun,” katanya.

No comments: